Tuesday, 19 July 2011

Temubual Bersama Atan (vokalis Aryan)

Bila menyebut tajuk lagu Baiduri Cintaku pasti ramai yang akan teringat kepada kumpulan Aryan yang mempopularkan lagu tersebut pada sekitar tahun 1991 dahulu. Sayangnya kumpulan tersebut hanya sempat merakamkan sebuah album sahaja dan kemudiannya hilang dari persada muzik rock tanahair.
Pada kesempatan yang ada, baru-baru ini gua sempat untuk membuat 'temubual secara siber' dengan vokalis kumpulan Aryan iaitu Atan. Gua ada bertanyakan beberapa soalan berkaitan karier beliau sebagai seorang rockers. Berikut adalah soalan-soalan yang sempat gua tanyakan kepada beliau:

S: Assalamualaikum abg Atan. Apa khabar sekarang? Mula-mula boleh ceritakan secara ringkas biodata abg? Nama abg, asal, di mana abg sekarang, umur atau apa-apa lagi?
J: Nama sebenar abg Abdul Wahab Bin Marzuki. Nama timangan di rumah dan di kampung Atan. Abg di lahirkan di Kg Meru Klang pada 20hb Julai. Bersekolah rendah di Sek Keb Sg Binjai, Meru Klang. Bersekolah menengah dari tingkatan 1 hingga 5 di Sek Men Sultan Abdul Samad, Bukit Kuda Klang. Sekarang abg menetap di Kg Meru Klang dan bekerja di USJ. Umur abg sekarang 52 tahun.

S: Boleh ceritakan tentang pembabitan awal abg dalam industri muzik rock? Pernah menyertai pertandingan, siapa yang mencungkil bakat abg dan sebagainya?
J: Pembabitan awal abg dalam dunia muzik adalah bila abg mula belajar bermain gitar ketika di zaman persekolahan dan abg suka main gitar sambil menyanyi di tepi jalan tempat abg dan rakan2 berkumpul di waktu petang. Apa yang abg sedar bahawa dari situlah rupanya permulaan latihan untuk jadi penyanyi tanpa abg sedari. Ketika itu abg banyak terpengaruh dengan lagu-lagu nyanyian group D'Mercys dari Indonesia. Cara vokalisnya Charles Hutagalung menyanyi dengan vocal hightone. Bila abg berpindah daerah..ke Tanjung Karang, ternyata di daerah ini abg mula menganggotai band. Abg mula di ambil untuk jadi vokalis sebuah band di Permatang Kuala Selangor. Ketika itu lagu Elvis Hound Dog, lagu Oh Carol adalah lagu favourite ketika bersama band pertama yg abg dah lupa nama band ni. Abg belum tukar imej rock lagi. Setelah bersama band kedua ia itu Seven Stone dari Batu 7 Tg Karang barulah trend rock mulai melanda. Berbekalkan lagu-lagu Search, Cinta Buatan Malaysia, abg dan Seven Stone mulai buat persembahan-persembahan di bawah khemah org kahwin. Penerimaan masyarakat pada abg okey jer sebab tu diaorang selalu jemput kita main band. Pada pendapat abg kenapa band baru seperti Seven Stone boleh diterima oleh masyarakat ialah kerana kami mempelbagaikan lagu. Di waktu show siang dan malam kami sentiasa membawa lagu-lagu terbaru yang popular di radio ketika itu.
Kalau ditanya apakah pertandingan dan siapa yang cungkil bakat abg, ada beberapa pertandingan yang telah abg dan band sertai. Antaranya di Taman Mini Ayer Keroh, Melaka. Dapat tempat ketiga. Dan pencapaian yg tak dapat abg lupakan apabila abg dinobatkan sebagai penyanyi band terbaik 1989 di dalam pertandingan band di Kg Jaya Setia, Kuala Selangor. Kalau cungkil bakat di kampung pula, org yang mula-mula sekali membawa abg ke dunia band adalah rakan sekampung di Kg Sungai Tenggi Kanan Darat,  Tg Karang iaitu Cikgu Suryani. Kalau untuk album adalah saudara WOM UG14. Abg diuji bakat dulu dengan lagu  Kepastian Abadi (antara 10 lagu dalam album Baiduri Cintaku)

S: Bagaimana pula penerimaan masyarakat sekeliling dan keluarga pada masa mula-mula abg menceburkan diri dalam bidang muzik rock?
J: Masa abg bergiat di dalam band, abg tinggal bujang di Tg Karang. Manakala ibu dan adik beradik yang lain tinggal di Klang. Jadi memang selama abg terlibat dengan band memang ahli keluarga tak pernah tengok abg perform. Selepas Seven Stone, abg menganggotai band Road Runner, Syakilla, Pelangi Biru dan Krisis. Sehinggalah pada penghujung tahun 1990 ketika bersama band Krisis dari Port Klang abg ditawarkan untuk menjadi vokalis kepada sebuah group dari KL iaitu LISA. Selepas bergabung dengan mereka barulah Aryan ditubuhkan.

S: Siapakah idola pujaan abg ketika itu?
J: Ramli Sarip dan Loudness.

S: Boleh ceritakan tentang penerbitan album Aryan ketika itu? Siapa penerbit, bila dan di mana album dirakamkan?
J: Penerbitnya Wom UG14. Rakaman dibuat di Studio Channel 11, Kuala Lumpur. Rakaman bermula di penghujung tahun 1990. Di bawah label MSO.

S: Apakah kenangan abg ketika berada dalam kegemilangan muzik rock tempatan?
J: Kenangan manis adalah apabila abg berjaya mengharungi cabaran utk membuat rakaman untuk kesepuluh-kesepuluh lagu dalam album Baiduri Cintaku dan juga dapat perform di pertunjukan pentas bersama Aryan di Tasik Shah Alam pada tahun 1991. Kenangan pahit apabila abg hampir-hampir berputus asa untuk menghabiskan rakaman album Aryan..kerana banyak kekurangan ilmu vokal. Abg cuma berbekalkan bakat semata-mata.

S: Ke manakah abg selepas keluar dari industri muzik?
J: Abg mengambil keputusan untuk berhenti main band sepenuh masa setelah abg berkahwin pada tahun 1993. Abg membuat keputusan untuk mencari suatu perkerjaan tetap utk menyara keluarga dan abg telah bekerja di sebuah kilang pengeluar sabun di Bukit Raja, Klang. Selama bekerja di kilang itu abg masih terlibat dengan seni bersama kawan kilang. Namun pada tahun 2000 abg telah bertukar ke tempat kerja lain dan sehingga kini abg tidak terlibat langsung dgn seni muzik. Abg bersara terus dari aktiviti seni.

S: Apakah perbezaan muzik rock dan sekarang pada pandangan abg?
J: Pada abg muzik rock sekarang adalah rock modern. Rock dulu-dulu lebih mengutamakan solo guitar untuk intro, solo tengah dan solo penutup lagu. Namun masih ada yang abg lihat band-band sekarang sebagai pewaris utk irama rock dulu-dulu.

S: Mengapakah lagu-lagu rock dulu lebih baik dan diminati sehingga sekarang?
J: Rock dulu irama dan liriknya lebih kepada cerita cinta, memuja, kecewa dan itu semua adalah cerita harian yang dialami sendiri oleh para pendengar. Dan yang penting trademark rock dulu-dulu adalah irama-irama yang bernada tinggi.

S: Lagu-lagu abg masih lagi sering diputarkan di radio dan ada yang dikeluarkan semula oleh syarikat rakaman, adakah abg mendapat apa-apa hasil royalti?
J: Royalti? Tidak. Abg tidak mendapat apa-apa royalti dari lagu-lagu yang diputar ataupun dikeluarkan semula kerana kami telah mengambil bayaran lumpsum. Seandainya album kami dapat terjual melebihi 10 ribu unit, maka unit-unit yang selebihnya adalah royalti kami. Tapi ketika itu pihak syarikat mengatakan album Aryan hanya terjual sekadar dalam 7 ribu unit sahaja.

S: Apa pendapat abg bila melihat semakin banyak band rock dulu sudah kembali membuat comeback?
J: Huh! Yearghhhhh! abg amat teruja bila band-band lama kembali reunion dan perform semula. Abg amat gembira dengan perkembangan ini.

S: Jika ada peminat-peminat abg ingin menghubungi abg, di manakah tempat atau bagaimana caranya?
J: Hubungi jer abg di Facebook. Untuk bertemu?? owhhh abg malu... cukup lah sekadar kita berhubung di Facebook jer :) Kalau nak add abg, klik saja di url ini - ATAN ARYAN

S: Akhir sekali, apakah ucapan yang abg ingin beritahu kepada peminat-peminat yang masih mengikuti perkembangan abg?
J: Ucapan abg... terima kasih buat penggemar-penggemar Aryan yang tidak henti memberi sokongan dan galakan untuk abg buat comeback. Terharu sungguh sebab dulu hanya dapat berhubung dgn penggemar-penggemar Aryan hanya melalui surat saja namun sekarang dapat berhubung melalui Facebook. Terima kasih banyak!!!!


Suka Entri Ini?

3 comments:

  1. Salam bro,

    Gua Zack

    sezaman dgn lu bro😁

    tahniah kerana pernah menyinari rock tanah air

    as rockers...

    we salute you and

    Don't forget Laila ha illallah

    ReplyDelete
  2. masih segar lagi lagu Baiduri cintaku bila didengar kembali...terbaik vokalis Atyan abg Atan

    ReplyDelete
  3. masih segar lagi lagu Baiduri cintaku ini bila didengat kembali...

    ReplyDelete